'Dune 2', bahagian siri kedua filem fiksyen sains 'Dune' baru-baru ini telah tayangkan di Korea dan ia telah berjaya mendapat perhatian dan populariti yang luar biasa. Pada masa yang sama dengan tayangan filem tersebut pelakon utama filem 'Dune' telah menjalankan lawatan ke Korea dan ianya telah menjadi bualan hangat. Terutamanya, Timothee Chalamet yang telah melawat Korea lebih awal daripada jadual dan telah dilihat bahawa dirinya telah berkunjung dan menikmati pelbagai tempat di Seoul.
Seoul kini telah menjadi salah satu bandar penting bagi bintang terkenal dunia. Bintang Hollywood terkenal datang ke Seoul untuk mempromosikan filem mereka. Bukan itu sahaja, penganjuran konsert oleh artis pop bertaraf dunia turut diadakan. Setiap kali bintang dari seluruh dunia melawat Seoul mereka akan memberikan maklum balas yang baik iaitu mereka sangat menikmati pengalaman sepanjang berada di Seoul serta terpukau sepenuhnya dengan bandar Seoul yang menawan. Bahkan mereka menzahirkan perasaan jatuh cinta dengan Korea dan berhasrat untuk kembali lagi pada masa hadapan.
Oleh itu, destinasi pelancongan Korean Wave di Seoul yang manakah dikunjungi bintang Hollywood? Seoul ialah sebuah bandar yang dipenuhi dengan daya tarikan Korean Wave, termasuklah keindahan alam semula jadi serta tradisi yang indah. Berkiblatkan fesyen dan pusat membeli-belah terkemuka dunia, hidangan kulinari yang menarik sehinggalah cita rasa bertaraf 5 bintang yang telah memikat hati bintang Hollywood membuatkan Seoul menjadi tempat terbaik. Mari mulakan perjalanan menarik Korean Wave kami di Seoul bermula sekarang. Ia merupakan tempat yang dipilih oleh bintang Hollywood kegemaran kita semua.
Sebuah kawasan kecil di Seoul yang dilawati oleh bintang Hollywood
Seochon Village
Seoul merupakan bandar yang menerajui trend terkini walaupun pada pandangan pertama ia hanya dilihat sama dengan bandar-bandar lain. Berhiaskan deratan Pencakar langit, papan tanda dan lampu berwarna-warni, serta kesibukan lalu lintas kenderaan yang meluncur laju diatas jalan raya menuju ke destinasi masing-masing. Dalam kesibukan hiruk piruk bandar metropolitan ini, daya tarikan unik utama Seoul adalah terletak pada setiap lorong-lorong yang ada di setiap penjuru bandar tersebut. Apabila anda memasuki setiap lorong tersebut, anda boleh melihat sisi lain dari bandar Seoul yang menawan. Hal ini kerana, anda akan menemui keajaiban dan keunikan yang menggabungkan tradisi dan kemodenan yang pastinya tidak pernah anda temui dimana-mana pelusuk negara lain.
Kampung Seochon yang juga bermaksud kampung kecil di sebelah barat Istana Gyeongbokgung merupakan tempat yang dipenuhi dengan lorong-lorong kecil. Bukan itu sahaja, ia juga merupakan lorong-lorong yang dipenuhi dengan kedai-kedai kecil, restoran, kafe dan kedai aksesori yang masih lagi bertahan untuk mengekalkan bentuk rumah tradisional Korea. Anda boleh menemui pelbagai tempat dengan suasana tenang di bandar kecil ini yang merangsang indra kepekaan retro anda.
Timothee Chalamet juga tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi tempat popular ini. Diketahui bahawa dia melawat Kampung Seochon dan menikmati kafe di sana. Seochon Village mempunyai banyak kafe dengan warna unik mereka sendiri yang menjadikannya destinasi pelancongan yang disyorkan untuk mereka yang suka pelancongan kafe.
Kampung Seochon diketahui bersambung ke seluruh kawasan Jongno-gu di Seoul yang menjadikannya tempat yang terbaik untuk menikmati perjalanan retro ke Seoul. Bagaimana jika anda melengkapkan K-travel anda dengan perjalanan New+Retro Korean Wave di Seoul dengan melawat Gwanghwamun, Bukchon, Istana Changdeokgung dan Euljiro atau juga dikenali sebagai Hipjiro?
Sebuah istana di Seoul yang digemari oleh bintang Hollywood
Istana Changdeokgung
Terdapat banyak tempat di Seoul di mana anda boleh menghargai dan merasai pengalaman sejarah dan budaya Korea. Khususnya, istana di Seoul iaitu tempat di mana anda boleh menghargai keindahan seni bina tradisional Korea dan melihat asal usul Gelombang Korea. Tempat tersebut merupakan salah satu tempat yang dikunjungi ramai bintang Hollywood ketika melancong ke Korea. Sebagai contoh, Elizabeth Olsen yang terkenal dengan siri Marvel diketahui sering mengunjungi Istana Gyeongbokgung dan pelakon Hollywood Will Smith dan anaknya diketahui sering menghabiskan masa bersama di Istana Changgyeonggung.
Antara lima istana besar di Seoul, Istana Changdeokgung merupakan istana yang paling cantik Korea. Ia adalah tempat dimana pelakon terkenal dunia Juliette Binoche menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat kunjungan. Tempat ini, secara khususnya telah disenaraikan sebagai tapak Warisan Budaya Dunia oleh UNESCO dan telah mendapatkan maklum balas positif kerana keindahan luar biasa serta keharmonian dan persekitaran yang sempurna dengan alam sekitar. Di Istana Changdeokgung terdapat astaka yang terserlah dengan keindahan seni bina Korea dan taman-taman yang diselaraskan dengan indah dengan topografi semula jadi. Hal ini mewujudkan keunikan seperti mempunyai rahsia dan keindahan yang luar biasa.
Istana Changdeokgung sangat mempesonakan pada musim bunga dengan bunga plum merah berwarna-warni mekar menyambut musim baharu dengan panorama warna merah jambu. Pada musim bunga ini, mari kita nikmati semangat perjalanan Korean Wave Seoul di Istana Changdeokgung di mana anda boleh merasai intipati keindahan Korea.
Berpakaian seperti bintang Hollywood
Taman Dosan
Di Apgujeong iaitu salah satu kawasan paling bergaya di Seoul merupakan kawasan “Fan Meeting” ataupun aktiviti temu ramah peminat bersama bintang filem sama ada bintang artis daripada dalam mahupun bintang artis luar negara Di pawagam di Apgujeong, pelakon Hollywood Tom Holland pernah menjayakan aktiviti temu ramah peminat yang mesra kepada peminat semasa zaman dia mempromosikan 'Spider-Man'nya.
Taman Dosan ialah tempat yang mesti dilawati di Apgujeong. Hal ini kerana, ia merupakan tempat dimana jejak langkah bintang filem terkenal terpahat dengan mendalam. Walaupun taman ini sangat berbaloi untuk dikunjungi, Taman Dosan sebenarnya lebih dikenali dengan restoran terkenal dan kedai utamanya.
Kawasan ini merupakan tempat khas kepada pelbagai kedai utama yang terdiri daripada jenama pereka Korea yang terkenal di dunia seperti Wooyoungmi dan Juun.J kepada jenama biasa dan jenama mewah. Ia menjadikannya kawasan membeli-belah popular yang sering dikunjungi oleh selebriti terkenal dan pelakon terkenal luar negera. Pelakon Timothee Chalamet yang terkenal dengan minat dalam bidang fesyen juga dilaporkan baru-baru ini telah membeli belah dan memakai beberapa helai pakaian daripada jenama pereka Korea yang popular di kalangan generasi MZ Korea.
Jika anda ingin mengenali dengan lebih baik tentang K-fashion, datanglah ke Apgujeong di mana terletaknya Taman Dosan. K-fashion berbekalkan trend dan kemewahan terkini akan menambah kualiti lawatan Korean Wave anda di Seoul.
Destinasi pelancongan makanan untuk bintang Hollywood
Bangi-dong Food Alley
Kawasan Songpa di Seoul adalah tempat yang dipenuhi dengan pelbagai perkara menarik untuk dicuba, dilakukan, dinikmati dan dicicip. Terdapat terlalu banyak tarikan pelancong untuk dikira. Antaranya termasuklah taman hiburan Lotte World, Taman Olimpik di mana anda boleh menikmati budaya, seni dan alam semula jadi dalam masa yang sama, dan Tasik Seokchon, yang terkenal dengan bunga sakuranya. Satu lagi tarikan di Songpa ialah anda boleh menikmati suasana dan pengalaman pelancongan tempatan.
Bangi-dong Food Alley merupakan bandar kulinari tertua yang terkenal sebagai tempat berkumpul pekerja pejabat. Adegan di mana, selepas seharian bekerja orang ramai akan menikmati daging panggang atau menikmati ayam dan bir dalam kumpulan untuk menghilangkan tekanan kerja atau menjadi agenda permulaan percintaan. Sesiapa yang menggemari budaya Korean Wave akan pasti pernah melihat dan teringat akan adegan pesta makan malam seperti ini dalam K-drama atau K-movies.
Ketika bintang Hollywood terkenal Tom Cruise melawat Seoul dia pernah dilihat bersiar-siar di sekitar kedai makan Bangi-dong yang kemudiannya menjadi topik hangat. Mari alami budaya masakan Seoul di Bangi-dong Food Alley iaitu bandar makan tradisional Seoul. Pengalaman istimewa yang membolehkan anda menjadi K-officer dan bukannya pengembara hanya boleh didapati di pusat kulinari di Bangi-dong, Seoul.