‘Tasty Seoul’ yang terletak di tingkat bawah tanah The Hyundai Seoul merupakan syurga makanan bagi mereka yang ingin mencuba pilihan makanan yang enak di Seoul. Antara semua pilihan yang menjadi kegemaran ramai, kami senaraikan beberapa kedai pencuci mulut yang unik di The Hyundai Seoul. Ayuh kita nikmati berbagai hidangan dan berkunjung ke The Hyundai Seoul!
Odd Fellows
Bermula dengan merebut hati penduduk di Brooklyn, New York, kini Odd Fellows telah membuka cawangan pertama di Korea yang bertempat di The Hyundai Seoul. Selari dengan nama yang diberi, pengunjung kedai aiskrim ini boleh mencuba pelbagai perisa aiskrim yang pelik lagi aneh. Ayuh cuba perisa aiskrim yang unik seperti perisa minyak zaitun atau perisa Teh Ais Thai! Jangan lupa untuk menambah taburan warna-warni supaya hidangan anda menjadi lebih menarik.
Cafe Layered
Cafe Layered khusus dalam menyediakan skon inggeris yang ringan dan lembab. Pilihan hidangan pencuci mulut yang dihias cantik ini dipamerkan dan dikelilingi dengan hiasan yang akan menarik perhatian pengunjung dengan sekali pandang! Terdapat pelbagai pilihan perisa skon untuk dicuba seperti perisa kranberi krim keju, perisa daun bawang, perisa bijan hitam, dan perisa ‘ang butter’ yang merupakan campuran mentega dan kacang merah. Sebagai bonus, terdapat juga kek yang padat dan berkrim, oleh itu pengunjung boleh memilih pencuci mulut yang mereka ingin mencuba mengikut citarasa masing-masing.
Tongin Sweet
Tat telur di Tongin Sweet adalah antara pencuci mulut yang telah menjadi tayangan di layar television! Pengunjung boleh menikmati tat yang sederhana namun masih mempunyai komposisi tat yang elegan dan lembab serta mempunyai inti kastard telur yang amat lembut. Selain tat telur, mereka juga menghidangkan tat kacang walnut, tat coklat dan tat limau.
Le Petit Four
Kedai Le Petit Four merupakan kedai pastri Perancis yang mana ia diusahakan oleh chef yang telah menjalani latihan kulinari di Perancis. Pencuci mulut tradisional Perancis seperti mille-feuille, makarun, dan kek gulung, adalah di antara makanan yang anda perlu beli jika anda berkunjung di kedai ini. Kek gulung ini mempunyai tekstur yang padat dan kenyal yang pasti dapat memuaskan hati sesiapa sahaja yang mencubanya.
Richemont
Bam Pie di Richemont yang merupakan sebuah pastri buah berangan berbentuk bulat adalah antara pencuci mulut yang anda harus cuba jika anda berkunjung ke The Hyundai Seoul. Pencuci mulut istimewa ini dipenuhi dengan buah berangan dan pes kacang almond, serta dibakar sehingga keperangan. Bam Pies menjadi salah satu pilihan untuk pengunjung menjadikannya sebagai hadiah kerana ia mempunyai rasa dan tekstur yang menjadi kegilaan semua, tanpa mengira paras umur!
※ Masa dan maklumat operasi boleh berubah mengikut panduan penjarakkan sosial yang ditetapkan oleh Kerajaan Korea. Anda dinasihati untuk menyemak semula sebelum berkunjung ke tempat-tempat ini.