#1 Gil-dong Ecological Park [Gangdong-gu]
Gil-dong Ecological Park merupakan taman mesra alam sekitar yang dibina sebagai salah satu inisiatif berjangka lima tahun untuk memperluaskan kawasan taman hijau. Dengan keluasan tanah sebesar 80,000 meter persegi, lokasi ini merupakan kawasan yang terdiri daripada beberapa jenis habitat flora dan fauna mengikut pelbagai tema seperti zon plaza, zon tasik takungan, zon tanah hijau, zon hutan, zon tanah lembap, dan zon bandar. Anda boleh bersiar sambil menerokai taman ini dalam hanya 2 jam! Antara keenam-enam zon yang terdapat di sini, kami syorkan anda untuk mengunjung zon hutan kerana ia mempunyai laluan pejalan kaki yang amat luas!
Sila buat tempahan secara dalam talian sebelum berkunjung kerana terdapat had kemasukan bagi bilangan pengunjung.
#GildongEcologicalPark #SafeTouristSpot #Nature #Park
Informasi
- Alamat 1291, Cheonho-daero, Gangdong-gu, Seoul
#2 Gilsangsa Temple [Seongbuk-gu]
Berlokasi di bahagian selatan kaki gunung Samgaksan Mountain di Seoul, kuil Gilsangsa Temple telah diwujudkan pada tahun 1997 apabila Kim Younghan (atau dikenali sebagai “Gil Sanghwa,” iaitu nama penganut agama Buddha yang diberi oleh Venerable Beopjeong), yang telah mengoperasikan sebuah restoran makanan Korea mewah berkeluasan 23,000 meter persegi bernama Daewongak, bertekad untuk menyumbang restorannya kepada Venerable Beopjeong (seorang sami agama Buddha di Korea yang mempraktikkan kehidupan tanpa barang kepunyaan). Kuil Gilsangsa Temple kini mengadakan variasi program aktiviti bentuk pengalaman seperti kehidupan di kuil serta mempelajari doktrin agama Buddha, serta percutian kuil dan banyak lagi. Walaupun kuil ini berada di tengah bandar, kami yakin lokasi ini menyediakan suasana yang amat tenteram dan jauh lebih menenangkan dari apa yang anda jangka! Sebulan sekali, kuil ini mengadakan program khas bernama, “Clear & Fragrant.” Walaupun bagi pengunjung yang bukan beragama Buddha, tempat ini menawarkan peluang bagi semua untuk berehat dan menenangkan minda di kawasan yang senyap sambil menikmati keindahan alam sekitar.
#GilsansaTemple #SafeTouristSpot #SeoulTemple
Informasi
- Alamat 68, Seonjam-ro 5-gil, Seongbuk-gu, Seoul
#3 Metasequoia Forest Park [Mapo-gu]
Jika anda mengikuti tangga di Haneul Park ke arah Nanji Trail, anda akan melihat laluan tanah yang merupakan sebahagian daripada Metasequoia Forest Park! Sejurus anda memasuki laluan ini, bunyi bising trafik berdekatan Gangbyeonbuk-ro, atau Gangbyeong Expressway, secara perlahan akan menghilang. Barisan pokok metasequoia yang tumbuh tinggi, serta laluan tanah di sana mencipta suasana yang menenangkan bagi pengunjung. Walaupun laluannya yang agak pendek, anda boleh bersiar dengan lebih tenang tanpa perlu tergesa-gesa untuk menikmati keindahan lokasi ini sepenuhnya. Anda juga boleh berhenti dan beristirahat di kerusi dan meja yang terdapat di sekitar laluan ini.
#MetasequoiaForestPark #HealingTouristSpot #ForestPark #Walking
Informasi
- Alamat 95, Haneulgongwon-ro, Mapo-gu, Seoul
#4 Hwarangdae Railroad Park [Nowon-gu]
Hwarangdae Station, yang merupakan salah satu stesen yang menjadi penghubung Seoul dan Chuncheon, kini telah dijadikan sebagai sebuah muzium yang digelar Hwarangdae Historical Museum. Muzium ini menawarkan servis sewa pakaian yang bertemakan tahun 70-an dan 80-an bagi pengunjung untuk mengambil gambar dan merasakan suasana masa lampau. Anda disarankan untuk berkunjung ke Bandisanghoe Café yang bertempat di dalam salah satu tren yang terdapat di lokasi ini untuk menikmati secawan kopi yang pasti membuat anda merasa seperti anda benar-benar sedang menaiki tren. Selepas jam 6 petang, taman Nowon Light Garden lights akan mula menerangi suasana senja yang gelap. Dengan sejumlah 10 lokasi yang dihias berdasarkan tema yang unik, termasuk tema ‘light garden’ dan ‘secret garden’, pengunjung boleh kembali ke masa silam dan menikmati suasana romantik di Hwarangdae Station.
#HwarangdaeRailroadPark #HealingTouristSpot #Hwarangdae #Nightscape #Nightview
Informasi
- Alamat 608, Hwarang-ro, Nowon-gu, Seoul
#5 Sebitseom Island [Seocho-gu]
Dikenali secara rasminya sebagai Sebitseom Floating Island, pulau buatan manusia ini merangkumi tiga pulau kecil. Sebahagian namanya iaitu “Sebit” daripada nama Sebitseom bermaksud “tiga warna” dan merujuk kepada warna merah, biru dan hijau. Sebitseom Island dibina dengan tujuan untuk mewarnai dan menerangi suasana Hangang River serta langit malam Seoul dan dijadikan sebagai sebuah ruangan kebudayaan yang terapung di kawasan sungai itu. Berlokasi di selatan Banpodaegyo Bridge, ketiga-tiga pulau kecil yang bernama Vista, Viva, dan Terra, membawa ciri-ciri galeri seni media. Pulau ini mula menerangi suasana sungai ini bermula pada waktu senja dan memberikan warna yang indah bagi pemandangan malam Seoul. Kebanyakan pengunjung berkunjung ke sini pada musim bunga dan musim luruh untuk bersiar di sekeliling kawasan itu.
#SebitseomIsland #HealingTouristSpot #HangangRiver #Nightscape #Nightview
Informasi
- Alamat 683, Olympic-daero, Seocho-gu, Seoul
#6 Eunpyeong Hanok Village [Eunpyeong-gu]
Perkampungan Eunpyeong Hanok Village merupakan perkampungan hanok moden yang dibina oleh Seoul Housing & Communities Corporation pada tahun 2010. Kebanyakan rumah hanok di sini telah secara rasminya tamat dibina pada tahun 2017 di mana setiap struktur bangunan ini menggambarkan keharmonian unsur tradisional yang menyamankan. Selain daripada bangunan kemudahan komersial, perkampungan ini sebenarnya merupakan kawasan kediaman. Terdapat sebahagian rumah kediaman yang membenarkan pengunjung untuk melihat ruangan dalam rumah hanok mereka! Perkampungan ini dibelakangi kaki gunung Bukhansan Mountain, serta dipenuhi dengan pemandangan yang cantik. Keindahan bunyian fauna di lembah Bukhansan Mountain valley serta Jingwangsa Temple yang juga dikenali sebagai “1000-year temple,” menjadi antara tarikan yang menjaminkan pengalaman yang unik bagi sesiapa sahaja yang berkunjung! Bahagian luar laman Eunpyeong History Hanok Museum juga mempunyai atap dari era Dinasti Unified Silla yang masih terpelihara.
#EunpyeongHanokVillage #HealingTouristSpot #HanokVillage #JingwansaTemple #BukhansanMountain
Informasi
- Alamat 8, Yeonseo-ro 50-gil, Eunpyeong-gu, Seoul
#7 Wooiryeong Road [Gangbuk-gu]
Wooiryeong Road terletak di antara bahagian utara Dobongsan Mountain dan bahagian selatan Bukhansan Mountain. Walaupun kesegaran tumbuhan hijau dapat dirasai, lokasi ini mempunyai sejarah hitamnya yang tersendiri. Pada tahun 1968, lokasi ini merupakan laluan bagi serangan gerila dari Korea Utara dan semenjak itu telah ditutup kepada orang awam. Pada tahun 2009, lebih kurang 40 tahun selepas itu, lokasi ini dibuka semula kepada awam dan pengunjung sekali lagi diberi peluang untuk terokai Wooiryeong Road di mana jika anda bertuah, anda boleh terserempak dengan lokasi latihan halangan anti-kereta kebal, kawasan latihan gerila, dan banyak lagi kemudahan kem askar.
Sila buat tempahan secara dalam talian sebelum berkunjung kerana terdapat had kemasukan bagi bilangan pengunjung.
#WooiryeongRoad #HealingTouristSpot #Trekking
Informasi
- Alamat Ui-dong, Gangbuk-gu, Seoul
#8 Mongchontoseong Fortress [Songpa-gu]
Mongchontoseong Fortress yang suatu ketika dahulu merupakan tembok kubu bandar ketika era Dinasti Hanseong Baekje kerana topografi tanahnya yang beralun, kini menjadi lokasi bagi Olympic Park yang menjadi kawasan istirahat awam bagi pengunjung. Bermula dengan pengisytiharannya sebagai tempat pembinaan kemudahan sukan bagi Seoul 1988 Olympics, tempat ini melalui ekskavasi sebanyak enam kali dari tahun 1983 sehingga tahun 1989. Sepanjang proses ini, terdapat pelbagai relik dan artifak yang dijumpai termasuklah barangan tembikar, barangan batu jed, barangan logam, barangan kayu, tulang, dan banyak lagi! Sekali anda memasuki kawasan dalam kubu ini, bukit yang diwarnai rumput hijau serta pokok-pokok pasti membuat anda terbayangkan padang golf yang lapang! Ayuh kunjungi kubu ini yang merupakan antara lokasi paling menenangkan di Seoul!
#MongchontoseongFortress #HealingTouristSpot #HistoricalTouristSpot #OlympicPark
Informasi
- Alamat 424, Olympic-ro, Songpa-gu, Seoul (Olympic Park)
#9 Seonyudo Park [Yeongdeungpo-gu]
Seonyudo Park merupakan taman ekologi “kitar semula” yang pertama di Korea. Apabila lokasi ini ditukarkan menjadi pulau selepas pengisytiharan pembangunan Hangang River pada 1968, tempat ini berfungsi sebagai loji pemulihan air utama sehingga tahun 1978. Tempat ini ditutup pada tahun 2000 namun dibuka semula kepada umum 2 tahun selepas itu sebagai taman ekologi terbina sendiri. Taman ini mempunyai tema tetap iaitu “air,” yang telah menjadi faktor terbentuknya taman Green-pillared Garden yang dinamakan kerana tiangnya yang berwarna ivy dan merupakan tinggalan kawasan tasik takungan terbuka. Semenjak itu, taman yang pernah menjadi loji rawatan air ini kini diberi nafas baru sebagai taman botani akuatik yang menjadi habitat semula jadi bagi pelbagai tumbuhan air.
#SeonyudoPark #HealingTouristSpot #HangangPark
Informasi
- Alamat 343, Seonyu-ro, Yeongdeungpo-gu, Seoul
#10 Baeksasil Valley [Jongno-gu]
Baeksasil, yang berasal dari lembah Baeksasil Valley, suatu ketika dahulu merupakan rumah musim panas bagi Menteri Lee Hangbok, yang terkenal dengan hasil literasi beliau iaitu “Ohseong and Haneum.” Namun, apa yang tinggal di dalam kawasan lembah ini hanyalah lokasi pavilion dan tasiknya. Jika anda mengikuti haluan Bugaksan Mountain Trail melalui kafe yang terletak di lereng gunung dan juga terkenal sebagai lokasi penggambaran bagi K-drama “Coffee Prince” itu, anda akan menjumpai laluan masuk bagi kawasan lembah ini. Pengunjung yang menggunakan haluan ini juga akan terlihat papan tanda Salamander Protection Area. Sebagai spesies penunjuk primer, salamander Korea menjadi bukti keaslian alam semula jadi di lembah Baeksasil Valley.
#BaeksasilValley #HealingTouristSpot #Valley #BugaksanMountain
Informasi
- Alamat 115, Buam-dong, Jongno-gu, Seoul
※ Masa dan maklumat operasi boleh berubah mengikut panduan penjarakan sosial yang ditetapkan oleh Kerajaan Korea. Anda dinasihati untuk menyemak semula sebelum berkunjung ke tempat-tempat ini.