
Apabila kita fikir telah mengenali bandar Seoul, kita dikejutkan dengan sisi baru Seoul yang tidak dijangka. Saya tidak menyangka akan menghabiskan satu hari dikelilingi kehijauan dan bunga-bungaan, namun itulah yang berlaku — dan itu adalah hari paling menyegarkan yang saya rasakan dalam sekian lama.
Bulan ini, saya memutuskan untuk meneroka bagaimana alam semula jadi yang boleh dicari dalam kehidupan seharian di Seoul. Bukan melalui pendakian jauh atau perjalanan ke luar bandar, tetapi melalui detik-detik kecil dan keindahan yang boleh ditemui di dalam kota ini. Dari pameran taman di tengah bandar Seoul, ke pasar bunga yang sibuk dengan penduduk tempatan, sehinggalah kepada pengalaman upacara teh yang tenang — ketiga-tiga pengalaman ini menawarkan cara yang indah untuk kembali berhubung dengan alam.
■ Pameran Taman Antarabangsa Seoul 2025
Pameran Taman Antarabangsa Seoul yang berlangsung dari 22 Mei hingga 20 Oktober ini merupakan pameran yang terbesar dan terpanjang dalam sejarah penganjurannya. Taman Boramae telah berubah menjadi taman bandar seluas 400,000㎡, dengan sebanyak 111 taman pameran (show garden) dibina.

Menurut Dewan Bandaraya Seoul, pameran ini merupakan sebahagian daripada projek "Garden City Seoul" yang membawa visi jangka panjang untuk memperluaskan kawasan hijau bandar dan menggalakkan gaya hidup berasaskan komuniti yang lestari.
Jika anda melawat pada hujung minggu, seluruh taman dipenuhi dengan suasana yang meriah. Ahli keluarga dan rakan-rakan membentangkan tikar atau mendirikan khemah sambil berehat, berbual mesra di bawah teduhan pokok. Di samping itu, terdapat deretan trak makanan yang menjual pelbagai jenis makanan seperti piza, kebab, churros dan aiskrim — menjadikannya ruang yang sempurna untuk menghabiskan sepanjang hari sekitar alam semula jadi.
Kerana tiada bangunan tinggi di sekitar taman ini, keseluruhan taman memberikan suasana seolah-olah berada di tengah hutan. Selain taman-taman pameran, terdapat juga pasar yang meriah menjual pasu bunga, peralatan berkebun dan pelbagai barangan lain.

Papan tanda berwarna hijau dan ungu memberi maklumat kepada pengunjung untuk mengikuti laluan yang ditetapkan, dan pusat maklumat juga menyediakan peta serta lawatan berpandu dalam bahasa Inggeris. Namun begitu, anda juga boleh bersiar-siar secara bebas sengaja ‘tersesat’ dalam taman sebenarnya memberikan pengalaman yang lebih menyeronokkan.
Jika Pameran Taman Antarabangsa Seoul adalah sebuah perayaan seni bunga, Pasar Bunga Yangjae adalah tempat di mana keindahan itu menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian orang tempatan.
Semasa menjalani kehidupan berpindah-randah dan tinggal di hotel selama berbulan-bulan atas urusan kerja, saya mempunyai satu tabiat kecil — membeli bunga dari pasar tempatan untuk memberi semangat pada diri sendiri. Hanya dengan sejambak bunga di dalam bilik, suasana boleh berubah sepenuhnya.
Pasar Bunga Yangjae, yang terletak di bawah jejambat di bahagian selatan Seoul, merupakan pasar besar jualan secara borong dan juga secara runcik. Ia menjadi tumpuan para florist, pemilik kedai bunga, dan pencinta bunga yang datang membeli bunga. Gabungan aroma bunga yang segar dan bunyi perbualan yang meriah mencipta suasana yang sedikit huru-hara tetapi juga penuh keindahan puitis.

Berikut adalah tip dari Jeon Juwon, seorang florist tempatan dan pengasas ‘Goalflora’, bagi mereka yang datang buat kali pertama.
● Waktu lawatan: "Lebih baik untuk melawat pada musim yang sejuk. Jika anda datang pada musim panas, hari Selasa, Khamis, dan Sabtu antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari adalah waktu yang terbaik — ketika itu bilangan pembeli borong lebih sedikit, jadi suasananya tidak terlalu sesak dan para peniaga juga lebih santai dan mesra."
● Bunga yang disyorkan sekarang: Untuk musim panas, bunga yang disyorkan termasuk Mawar berwarna terang, Sedum, dan Clematis. “Warnanya terang dan cantik, tahan lama, jadi sangat sesuai dengan cuaca panas.”
● Cara memilih bunga segar: “Pastikan anda tanya bila bunga itu sampai. Jangan hanya lihat kelopaknya — periksa juga batang dan daunnya, dan pilih yang berwarna hijau segar serta kelihatan sihat dan bertenaga.”
● Bunga mewah pada harga berpatutan: “Memang tidak banyak bunga yang kelihatan mewah yang juga berharga murah. Namun, Calla lily dan Sandersonia memberikan aura elegan dengan harga yang agak berpatutan.”
● Bunga untuk newbie: Bagi mereka yang baru pertama kali mencuba gubahan bunga, saya syorkan bunga yang mempunyai bentuk yang jelas seperti Mawar, Lisianthus, dan Tulip. “Ia lebih mudah dikendalikan berbanding bunga yang lebih halus.”
● Cara untuk memastikan bunga tahan lama: Peraturan emas beliau adalah “Tukar air setiap hari. Walaupun tanpa menambah apa-apa bahan lain, air yang bersih sahaja sudah cukup untuk mengekalkan kesegaran bunga lebih daripada seminggu.”
■ Pengalaman Upacara Teh di Hee-Seom
Setelah menyentuh alam dengan mata dan tangan, kini saya ingin menikmatinya melalui deria dan juga hati. Pengalaman upacara teh yang ditawarkan oleh 'Hee-Seom' di Seoul adalah ruang untuk mengalami alam semula jadi secara tenang dan penuh renungan. Upacara teh Korea, tidak seperti budaya teh di China atau Jepun, menekankan kesopanan, keseimbangan, serta aliran lengkung yang diinspirasikan daripada gerakan tarian tradisional Korea.

Hee-Seom ialah sebuah ruang yang diasaskan 11 tahun lalu oleh pakar teh bertauliah, Song Na. Di sini, teh bukan sekadar minuman — ia adalah satu proses untuk membawa alam ke dalam diri kita. Song Na menjelaskan, “Teh hanyalah air dan daun, tetapi dalam dua elemen ini terkandung intipati gunung, angin, tanah dan cahaya matahari.”
Setiap hirupan teh menjadi satu bentuk meditasi — memperlahankan langkah, membumi, dan memberi tumpuan kepada detik ini. Saya menyertai bengkel pengalaman selama 90 minit, tetapi di Hee-Seom juga terdapat program intensif 12 minggu serta sesi tambahan seperti terapi bunyi menggunakan singing bowl dan kelas kaligrafi. Ia merupakan pengalaman menyeluruh yang merangsang kelima-lima deria manusia.
Setiap gerakan, daripada melipat kain hingga menuang air, dilakukan dengan sengaja dan penuh keanggunan. Upacara teh bermula dengan sapaan "Gong-su" dan menggunakan set peralatan teh yang diilhamkan oleh buah-buahan musim panas dan biji Ginkgo — set teh eksklusif yang layak dipamerkan di muzium. Setiap gerakan ong Na sangat teratur, elegan dan penuh tujuan, sehingga hanya dengan memerhatikannya sahaja sudah terasa seperti satu bentuk latihan spiritual.

Kami merasai tiga jenis teh, setiap satunya memiliki cerita dan padanan tersendiri: teh hitam Hadong, mempunyai aroma yang lembut tetapi mendalam, teh hijau segar yang dituai pada awal Mei, dan teh bunga Magnolia yang mempunyai aroma halia yang sempurna. Ketiga-tiganya mempunyai keunikan tersendiri, aroma teh juga menjadi lebih menonjol apabila sejuk — sukar untuk memilih satu yang terbaik kerana semuanya begitu mengagumkan.
Song Na berkata, “Setiap hirupan teh mengingatkan kita tentang kelambatan, akar yang kukuh, dan kehidupan.” Ini menunjukkan betapa mendalamnya alam semula jadi boleh menyentuh hidup kita apabila ia hadir dalam kehidupan harian.
Melalui pengalaman berjalan di taman, memegang bunga, atau menikmati secawan teh dalam keheningan, saya menyedari bahawa alam tidaklah jauh dari kita. Jika kita membuka hati, alam sekitar sentiasa bersedia untuk hadir dalam kehidupan seharian kita.