Tahun baru jatuh pada setiap tanggal 1 Januari. Walaupun Hari Seollal (Tahun Baru Korea) jatuh pada hari pertama mengikut kalendar qamari (bulan), tahun baru masih juga disambut dengan budaya yang istimewa. Ayuh kita lihat dan pelajari cara menyambut tahun baru di Korea dengan mengharapkan tahun yang lebih baik.
Pembunyian Loceng Tahun Baru
Tepat jam 12 tengah malam pada malam terakhir setiap tahun, sebuah acara pembunyian loceng akan diadakan di Bosingak, Seoul. Program tahun baru yang gah disiarkan di berbagai-bagai siaran, namun apabila masa mendekati 12 tengah malam, semua rancangan akan diberhentikan sebentar bagi memulakan pengiraan detik pelancaran tahun baru. Ketika mendengar bunyi loceng kuat yang menandakan bermulanya tahun baru, orang Korea akan mengucapkan “saehae bok manhi badeuseyo” kepada satu sama lain yang bermaksud “Saya berharap awak mendapat tuah tahun baru yang banyak”. Ini merupakan cara orang Korea mengucapkan “Selamat Tahun Baru”.
Budaya Ketika Matahari Terbit
Walaupun matahari terbit setiap hari, namun pada tahun baru, ia terasa lebih istimewa. Kebanyakan orang Korea akan melawat lokasi melihat matahari terbit yang mempunyai pemandangan yang indah bagi menikmati pemandangan matahari terbit sambil membuat hajat. Ayuh kita mulakan tahun baru sambil melihat matahari terbit dari kegelapan subuh.
Tunduk Hormat Tahun Baru
Pada pagi tahun baru, semua ahli keluarga akan membersihkan diri dan memakai baju baharu. Mereka yang lebih muda akan tunduk hormat kepada mereka yang lebih tua, mengucapkan ucapan tahun baru, dan mendoakan kesejahteraan satu sama lain. Kadangkala, kanak-kanak akan diberikan duit tahun baru selepas mereka tunduk hormat.
Tteokguk
Tteokguk (sup kek beras) merupakan makanan utama yang akan dimakan oleh seluruh ahli keluarga pada tahun baru di Korea. Kerana terdapatnya tteok(kek beras) yang berukuran panjang dan dipotong menjadi bahagian kecil, makanan ini mempunyai makna tersendiri iaitu mengharapkan dipanjangkan umur. Terdapat budaya kepercayaan di mana jika anda memakan semangkuk Tteokguk pada tahun baru, anda akan dipanjangkan umur lebih setahun.
Artikel Berkaitan
※ Artikel ini ditulis pada Disember 2021. Masa dan maklumat operasi boleh berubah mengikut panduan penjarakan sosial yang ditetapkan oleh Kerajaan Korea. Anda dinasihati untuk menyemak semula sebelum berkunjung ke tempat-tempat ini.