Anda kini berpeluang untuk memasuki Gyeongbokgung Palace pada waktu malam sekali lagi! Kemasukan pada waktu malam amatlah terkenal dalam kalangan penduduk tempatan serta pelancong kerana ia memberi peluang bagi pengunjung untuk menikmati keindahan istana ini ditemani malam musim luruh yang sunyi dan indah. Tempahan secara dalam talian yang telah dijalankan secara dua kali telah pun penuh sejurus tempahan dibuka. Namun, anda tidak perlu berputus asa lagi walaupun anda gagal membuat tempahan! Terdapat cara lain bagi anda memasuki dan menikmati Gyeongbokgung Palace pada waktu malam! Ayuh kami kongsikan cara mendapatkan tiket Gyeongbokgung Palace bagi sesi malam di lokasi serta tiga lokasi mengambil gambar pada waktu malam yang pasti membuat anda terpegun!
Kemasukan Gyeongbokgung Palace Sesi Malam Bagi Separuh Tahun Kedua 2021
- Tarikh 2021.10.21 - 2021.11.29 (Ditutup setiap hari Selasa)
- Waktu Operasi 19:00 ~ 21:30 (Kemasukan terakhir pada 20:30)
- Yuran Kemasukan KRW 3,000
- Tempahan 11th Street Ticket (Klik Sini)
Tiket kemasukan bagi Gyeongbokgung Palace sesi malam hanya terhad kepada 300 tiket setiap hari. Namun, pembelian tiket di lokasi tersedia bagi mereka yang berumur 65 tahun ke atas, warga asing, dan mereka yang mendapat kelebihan kemasukan percuma sahaja. Kami ingin memberitahu anda 2 tip untuk memasuki lokasi ini tanpa tempahan awal! Tip pertama adalah anda boleh menyewa hanbok dari kedai sewa hanbok di sekeliling Gyeongbokgung Palace. Mereka yang memakai hanbok akan tersenarai di antara mereka yang menerima kelebihan kemasukan percuma dan boleh mendapatkan tiket di lokasi secara percuma. Cara kedua pula, bagi mereka yang memegang pasport negara asing atau mempunyai kad pengenalan warga asing di Korea, anda boleh membeli tiket di lokasi secara terus. Walaupun sedemikian, tiket hanya terhad kepada 2 tiket seorang.
[Tiket diberikan secara percuma jika anda memakai hanbok]
[Warga asing boleh membeli maksimum 2 tiket di lokasi]
Lokasi bergambar pertama adalah di Geunjeongmun Gate, yang merupakan pintu masuk Geunjeongjeon Hall. Secara jujurnya, agak sukar untuk bergambar di dalam kawasan Geunjeongmun Hall kerana ramai pengunjung berkeliaran di kawasan ini. Namun, kawasan hadapan Geunjeongmun Gate agak sunyi serta memberi anda peluang mengambil gambar yang cantik! Anda boleh mengambil gambar Geunjeongmun Gate dan Geunjeongjeon Hall dalam satu foto yang sama bagi menyerlahkan lagi keindahan reka bentuk istana ini. Selain itu, anda tidak perlu risau gambar yang diambil menjadi gelap kerana jalan-jalan di sini dipenuhi lampu yang amat terang!
Lokasi bergambar kedua adalah di Eastern Corridor, yang terletak di bahagian kanan Geunjeongjeon Hall. Corak bunga “dancheong” pada tiang dan cucur atap yang terdapat di koridor ini menyerlahkan keindahan hanok. Terdapat lampu terang yang menyuluh ke arah atap koridor ini menjadikan pengunjung mudah untuk bergambar pada waktu malam. Jangan kita terlepas untuk menikmati pemandangan Geunjeongjeon Hall yang indah menyusuri tiang-tiang di sini.
Lokasi bergambar terakhir adalah di Gyeonghoeru Pavilion, sebuah dewan bankuet yang digunakan ketika Dinasti Joseon. Cahaya yang terpancar dari Gyeonghoeru Pavilion memastikan gambar yang diambil oleh anda cantik tidak kira diambil dari sisi mana sekalipun. Di hadapan Gyeonghoeru Pavilion juga terdapat acara “Royal Family's Walk” yang menunjukkan gambaran golongan diraja bersiar di istana di mana anda boleh mengambil gambar buat kenang-kenangan. Acara ini akan berakhir pada 29 November 2021 dan dijalankan selama sejam dari 7.30 malam.
Kemasukan Gyeongbokgung Palace bagi sesi malam merupakan peluang luar biasa bagi anda menikmati keindahan pemandangan malam pusat bandar yang sunyi dan indah! Jangan lupa untuk berkunjung ke Gyeongbokgung Palace sebelum terlambat!
Artikel Berkaitan
※ Artikel ini ditulis pada November 2021. Masa dan maklumat operasi boleh berubah mengikut panduan penjarakan sosial yang ditetapkan oleh Kerajaan Korea. Anda dinasihati untuk menyemak semula sebelum berkunjung ke tempat-tempat ini.