Selepas berbulan berkurung dalam rumah sepanjang musim sejuk, musim bunga tiba akhirnya! Pasti ramai yang ternanti-nanti agar pandemik ini berakhir untuk melancong ke Seoul kan? Selepas musim sejuk, musim bunga akan bermula dari hujung bulan Mac hingga awal bulan Mei. Pada musim ini biasanya banyak festival bunga yang anda boleh lawati di sekitar Seoul. Kali ini kami akan membawa anda melalui “virtual tour” dengan konsep mendengarkan "playlist" lagu-lagu Korea yang bertemakan musim bunga. Sediakan pemain muzik anda dan ayuh kita mulakan!
Playlist 1: Seoripul Park – Jukjae, Do You Want To Walk With Me?
Dari Stesen Express Bus Terminal, anda perlu melintasi jambatan besar menghala ke arah Hospital Seoul St. Mary, belok kiri dan anda akan menemui Seoripul Park yang popular di Banpo-dong Seocho gu. Sekiranya anda memilih untuk melalui jalan tanah merah berbanding tangga kayu, anda dapat melihat ruangan hijau dengan aroma hutan di pusat bandar Seoul yang tidak diketahui ramai sebleum ini. Oleh kerana lokasinya yang berdekatan dengan pusat bandar, anda boleh melihat ramai pekerja pejabat yang bersiar dan meluangkan masa di sini selepas waktu bekerja. Bukan sahaja taman ini mudah diakses dari pelbagai lokasi, ia juga tidak mempunyai bukit tinggi dan tidak membahayakan. Pada waktu malam, nikmati pemandangan indah dari lampu berwarna-warni bersama angin nyaman sambil mendengarkan lagu kegemaran anda!
#SeoripulPark #MusimBunga #BungaSakura #Seocho #Gangnam #CherryBlossom #Spring
Informasi
- Alamat: 165-4, Seocho-dong, Seocho-gu, Seoul
Playlist 2: Seorae Island – Bolbbalgan4, Bom
Banpo Hangang Park merupakan tempat yang popular bagi kalangan pasangan untuk meluangkan masa bersama, tetapi tahukah anda bahawa Seorae Island terletak bersebelahan dengan taman ini sahaja? Anda dapat melihat pemandangan bunga sakura pada awal musim bunga dan bunga mekar sepenuhnya pada hujung musim. Berjalan di sekeliling Seorae Island ini boleh mengambil masa dalam 30 minit dan terdapat rumput pampas (silver grass) yang indah di bahagian kanan, juga boleh dijadikan latar belakang untuk mengambil gambar. Di sebelah kiri pula pula terdapat rumput hijau, bangku, dan beberapa zon foto. Pastikan anda tidak lepaskan peluang ini untuk mengambil gambar dengan pasangan anda sebagai memori romantik di sini!
#SeoraeIsland #BanpoHangangPark #CherryBlossom #Spring #Park #Seocho #Banpo
Informasi
- Alamat: 137-41 Banpo-dong, Seocho-gu, Seoul
Playlist 3: Ilja Mountain Herb Astronomy Park – Loco & Yuju (Gfriend), Spring is gone by chance
Ilja Mountain Herb Astronomy Park merupakan salah satu tempat yang sangat tenang dan indah. Tempat ini diberi nama Herb Astronomical Park kerana anda boleh mempelajari tentang pelbagai jenis herba, aroma dan juga mempunyai balai cerap astronomi mini yang dibuka 24 jam. Taman yang berjarak 13 minit dari Stesen Gil-dong, mempunyai trek joging dan trek pejalan kaki, serta dek pemerhati untuk melihat panorama keseluruhan kawasan ini. Tidak lupa juga anda boleh melihat matahari terbit di dek pemerhatian bahagian timur dan matahari terbenam di dek pemerhatian sebelah barat. Pada musim bunga anda dapat melihat burung-burung dan haiwan kecil berkeliaran di taman ini.
#HerbAstronomicalPark #HealingTouristSpot #Gangdong #CherryBlossom #Spring #Walking #Observatory
Informasi
- Alamat: San 86, Dunchon-dong, Gangdong-gu, Seoul
Playlist 4: Mongchontoseong Fortress – BTS, Spring Day
Jika anda mencari tempat untuk bersiar-siar pada waktu senja anda boleh menaiki bas mahupun keretapi untuk ke Mongchontoseong Fortress bersama orang yang tersayang. Kubu yang terletak di Olympic Park ini digunakan sejak zaman Dinasti Baekje lagi. Sejak itu, terdapat banyak pembangunan yang dilakukan untuk menarik lebih ramai pengunjung. Kawasan rekreasi ini sangat cantik terutamanya pada bulan April dikelilingi bunga sakura yang mekar. Untuk melihat bunga-bunga ini and perlu melewati Tasik Mongchon dan melalui tangga kayu untuk menaiki bukit. Pandangan dan suasana dari atas bukit itu sangat sesuai bagi sesiapa yang inginkan ketenangan, menikmati pemandangan indah dan berehat sebentar dari kesibukan bandar.
#MongchontoseongFortress #Fortress #Hwarangdae #CherryBlossom #Spring #MongchonLake #Songpagu #Olimpikro
Informasi
- Alamat: Olympic Park, 424, Olimpik-ro, Songpa-gu, Seoul
Playlist 5: Hyochang Park - Jang Beom June, Your shampoo scent in the flowers
Jika anda menaiki subway, turun di Stesen Hyochang Park dan jalan beberapa minit untuk sampai ke laluan masuk taman tersebut. Ia terletak tidak jauh dari Sookmyung Women’s University. Tempat ini sangat terkenal sebagai tempat rekreasi keluarga mahupun pasangan kekasih. Laluan pejalan kaki yang diperbuat dari tangga kayu itu dikelilingi batu besar dan pagar kayu. Terdapat juga kerusi disediakan untuk berehat sepanjang laluan tersebut. Taman ini merupakan tempat di mana anda boleh mengetahui lebih tentang sejarah Seoul dan South Korea. Di bahagian astaka terdapat makam dan ruang peringatan bagi pejuang kemerdekaan semasa zaman penjajahan Jepun. Pada hujung minggu anda juga boleh melihat ramai keluarga yang datang bersama anak-anak kecil untuk meluangkan masa di sini.
#HyochangPark #SookmyungWomenUniversity #CherryBlossom #Spring #Hiking #SeoulHistory #Yongsangu
Informasi
- Alamat: 177-18, Hyochangwon-ro, Hyochang-dong, Yongsan-gu, Seoul