Dengan perubahan cuaca yang semakin ketara, suasana dingin di luar membuat kita ingin berkurung di dalam sambil membaca buku. Namun, apa kata anda keluar pada hujung minggu ini dan singgah ke kafe buku yang bagaikan ruangan istimewa buat anda? Kini, kafe buku lebih memfokuskan kepada sinergi buku dan pengunjung yang memastikan ruangan tersedia lain daripada yang lain! Anda dipersilakan untuk duduk di atas sofa sambil mendalami buku anda, atau fokus membaca tanpa gangguan daripada sesiapa pun di ruangan persendirian. Ayuh kita kenali lima kafe buku di Seoul yang menyediakan ruangan yang unik!
Sojeonseolim
Sojeonseolim merupakan perpustakaan sastera premium di Cheongdam-dong yang dilengkapi buku-buku kemanusiaan seperti kesusasteraan, seni dan falsafah. Namun, nilai sebenar Sojeonseolim terletak pada ruangan yang disediakan olehnya. Ruangan persendirian di mana anda boleh beristirahat ditemani kerusi yang amat selesa menjadikan ruangan ini ruangan yang sempurna bagi anda fokus dalam membaca buku. Selain itu, Yedam yang merupakan sebuah ruangan bagi kegunaan seni, menawarkan syarahan kemanusiaan, lokasi bagi perbincangan mengenai kemanusiaan, serta menjemput selebriti bagi konsert kecil memuatkan 50 orang.
Blue Square Book Park Lounge
Blue Square Book Park Lounge pada awalnya diwujudkan sebagai tempat bagi mereka yang sedang menunggu bermulanya persembahan muzikal di lokasi. Namun, kini menjadi destinasi bagi bibliofil. Terdapat pelbagai jenis struktur ruangan di sini seperti meja bagi seorang, beg kekacang, dan sofa yang boleh dibaringkan, yang sesuai bagi pengunjung solo mahupun sekeluarga. Disebabkan lokasi ini merupakan sebuah kafe buku, yuran kemasukan disertakan dengan tiket minuman agar dapat memastikan anda boleh membaca buku dalam ruangan yang selasa dan tenang sesuka hati anda.
The Project HUAM
The Project HUAM beroperasi di sebuah ruangan di Huam-dong. Disebabkan lokasi ini merupakan ruangan automatik tanpa pengurus, anda perlu membuka pintu berkunci, membancuh kopi, dan membuat bayaran sendiri. Namun, oleh sebab itulah anda boleh merasakan seperti anda ialah pemilik ruangan ini kerana anda boleh menikmati ruangan ini sesuka hati anda. The Project HUAM terbahagi kepada sesi siang dan sesi malam di mana ia hanya terhad kepada 3 orang sahaja dalam satu masa bagi memastikan keselesaan anda terjamin.
The Forest Chosochaekbang
The Forest Chosochaekbang yang terletak di kaki bukit Inwangsan Mountain dicipta dengan mereka semula reka bentuk ruangan yang satu ketika dahulu merupakan sebuah pondok pengawal yang telah digunakan selama lebih 50 tahun. Menerusi tingkap di ruangan ini, anda boleh melihat pemandangan dinding batu dan pokok-pokok Inwangsan Mountain, manakala sekiranya anda ke aras 2 pula, anda boleh melihat pemandangan Seoul dengan Namsan Seoul Tower di tengahnya. Kafe buku yang dikelilingi alam semula jadi ini dipenuhi dengan buku-buku yang memfokuskan tentang alam semula jadi dan alam sekitar. Ayuh kita nikmati masa kita dengan buku sambil ditemani alam semula jadi di The Forest Chosochaekbang!
Cafe Comma Hapjeong Branch
Cafe Comma merupakan sebuah syarikat penerbitan serta kafe buku di Munhak Village. Secara khususnya, Cafe Comma Cawangan Hapjeong membanggakan ruangannya yang mengguna baik seluruh bangunan, serta komposisi ruangan yang berbeza pada setiap aras menjadikan lokasi ini amat menarik untuk dikunjungi. Rak buku yang meninggi sehingga ke siling dan dipenuhi dengan buku kesusasteraan pasti akan membuat anda rambang mata memilih buku untuk dibaca. Anda juga boleh menikmati kopi beraroma dan roti yang enak, serta membeli buku dengan harga yang rendah.
※ Artikel ini ditulis pada bulan November 2021. Masa dan maklumat operasi boleh berubah mengikut panduan penjarakan sosial yang ditetapkan oleh Kerajaan Korea. Anda dinasihati untuk menyemak semula sebelum berkunjung ke tempat-tempat ini. 5 Kafe Buku Yang Memberi Anda Pengalaman Ruangan Istimewa!