
Menemui Ketenangan dalam Musim Panas Seoul: Trend Melancong Terkini
Dengan suku kedua tahun 2025 yang hampir berakhir, kebanyakan kaki kerja termasuk saya sendiri mungkin sudah mulai merasa letih. Jujurlah saja. Di samping cuaca musim panas yang semakin panas dan jadual harian kita yang padat dengan kerja, aktiviti sosial, dan makan lewat malam, kehidupan moden mungkin paling sesuai digambarkan sebagai satu perjuangan yang berterusan. Kita bukan sahaja bekerja keras, tetapi juga makan dan minum di luar bersama rakan dan keluarga, serta bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain — sehinggakan kita lupa untuk berhenti sejenak, menarik nafas, dan menemui semula rentak kita sendiri.
Trend maelancing tahun ini mencerminkan keperluan itu: rehat yang disengajakan.
Tinjauan terbaru menunjukkan bahawa para pengembara kini lebih memilih percutian mikro yang bermakna dan penuh kesedaran berbanding percutian jarak jauh yang dipenuhi aktiviti pengembaraan. Dan ini bukan sahaja sekadar soal pilihan; tekanan juga memainkan peranan besar — terutamanya dengan kemelesetan ekonomi global yang berterusan (bukan hanya di Korea), mempengaruhi cara kita merancang percutian dan sejauh mana kita sanggup membelanjakan wang hasil titik peluh kita demi pelancongan.
Selain itu, terdapat juga rasa letih yang semakin meningkat terhadap perjalanan jarak jauh — tapi keinginan untuk melarikan diri dari panas yang menyengat ini adalah mendalam melalui rehat atau bersendirian.
Dengan mengambil kita hal itu, saya telah mengunjungi tiga lokasi di Seoul yang mencerminkan mood perjalanan baharu ini. Semoga anda bersedia untuk satu perjalanan sensori — tanpa perlu meninggalkan kota, malah tanpa melangkah keluar dari ruang tertutup.
Surakhu: Sebuah Suaka Rimba di Tengah-tengah Kota

Terletak di kaki bukit yang tenang di kaki Gunung Surak, Surakhu menawarkan ketenangan yang jarang ditemui di daerah Nowon, Seoul. Saya menaiki teksi ke sana — hanya sekitar 40 minit perjalanan dari pusat bandar. Surakhu bukan sahaja mudah diakses dari segi jarak, tetapi juga mesra bajet, dengan kadar bilik antara 70,000KRW hingga 250,000KRW bergantung kepada jenis bilik dan jumlah tetamu.
Setibanya di sana, laluan dari pintu masuk ke bilik terasa seolah-olah sedang melakukan forest bathing (mandian hutan) — dikelilingi kehijauan yang menyegarkan. Rumah pokok yang terletak 14 meter dari tanah mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak saya — sama ada bermain sorok-sorok atau berpura-pura menjadi Rapunzel. Saat saya melangkah masuk ke dalam bilik, aroma kayu memenuhi ruang dan serta-merta menenangkan saya, seolah-olah saya berada di dalam sauna hinoki. Dan sebagai ganti skrin TV, setiap bilik dilengkapi dengan pemain LP dan pembesar suara Bluetooth Marshall, menggalakkan detoks digital yang sebenar.

Saya sempat berbual dengan Dong-jin Jang dari Pejabat Pengurusan Hutan Rekreasi Daerah Nowon semasa lawatan saya. Beliau memberitahu bahawa rumah pokok di Surakhu diinspirasikan daripada rumah pokok di Fjord, Norway. Berikut adalah beberapa tip dan pandangannya untuk membantu anda menikmati pengalaman di Surakhu sepenuhnya:
S: Apakah tip dan aktiviti terbaik untuk menikmati Surakhu dan kawasan sekitarnya?
J: Ada banyak yang boleh diterokai. Kami ada laluan dek hutan yang direka khas untuk warga emas dan pengunjung yang mempunyai masalah mobiliti. Terdapat juga “Mata Air Bebas Bimbang”, di mana tetamu boleh menulis kebimbangan mereka di atas kertas larut air dan melihatnya larut ke dalam aliran air.

Terdapat empat kuil yang boleh dikunjungi dengan berjalan kaki, dan bagi mereka yang mencari lebih banyak cabaran, pendakian ke Dosolbong menawarkan laluan yang lebih mencabar. Anda juga boleh mengakses kawasan berkelah di tepi sungai, Jejak Seoul (Seoul Trail), Pemerhati Bukhansan, Taman Azalea, serta mencuba pengalaman memanah tradisional di Surakjeong. Kami juga sedang menyediakan zon pengalaman hutan untuk kanak-kanak.
Kami turut mempunyai zon bulmeong – kawasan unggun api yang menggunakan pembakar bioetanol mesra alam, tempat anda boleh tenggelam dalam keasyikan melihat api yang berkelip. Berdekatan pusat pelawat, terdapat juga “Hutan Pari-pari” yang ajaib, sesuai untuk bergambar. Pada akhir bulan Ogos, kami akan memperkenalkan program pemandu hutan, walaupun para tetamu dialu-alukan untuk menjelajah kawasan ini secara bebas pada bila-bila masa.

S: Bagaimana pula dengan makanan dan tempat makan?
J: Restoran di sini menggunakan bahan-bahan bermusim yang diperoleh daripada ladang tempatan, jadi anda boleh menikmati hidangan Korea yang segar dan autentik bergantung kepada waktu kunjungan anda. (Semasa lawatan saya, mereka menghidangkan hidangan seperti daging babi Jeju goreng dan hot pot bulgogi gaya Pyongyang.)
S: Adakah Surakhu mesra pelancong asing?
J: Walaupun kami tidak menyediakan perkhidmatan khusus untuk pelancong antarabangsa, semua papan tanda ditulis dalam Bahasa Inggeris, dan kami telah mengambil bekas pengurus hotel dari Jepun untuk membantu meningkatkan pengalaman tetamu. Tempahan boleh dibuat melalui laman web Forest Outing (숲나들이). Aplikasi terjemahan berfungsi dengan baik, dan staf kami sedia membantu dengan mesra.
Overdeep Yeonnam: Impian Kafe Bertemakan Lautan
Seterusnya, saya menuju ke salah satu kawasan kegemaran saya di Seoul — Yeonnam-dong, sebuah kawasan yang dipenuhi dengan kafe dan restoran popular. Tetapi Overdeep bukanlah kafe biasa. Terletak di sebuah rumah kediaman yang telah diubah suai, kafe ini menukar ruang tiga tingkatnya menjadi fantasi dasar laut. Dan mereka benar-benar serius dengan konsep ini.

Dari luar hingga ke dalam, segalanya berwarna biru. Pada pandangan pertama, suasananya mungkin terasa sedikit melampau, tetapi reka bentuk yang imersif ini memang disengajakan. Kafe ini bukan sekadar memberi penghormatan kepada lautan dalam — ia membawa anda terus menyelam ke dalamnya. Salah satu minuman ikonik mereka ialah Wave Cream Latte, seperti gambar di atas, ia merupakan lautan dalam cawan, dihiasi dengan buih biru yang berputar di atas kopi. Oh, kafe ini juga mempunyai banyak sudut bergambar yang sangat sesuai untuk posting Instagram tema musim panas.
Di dalamnya, pencahayaan ala Mandalaki melemparkan bayang-bayang lembut beralun di sepanjang dinding, manakala seni media berinspirasikan ubur-ubur terapung perlahan di latar belakang. Lantainya bertekstur batu-batu kecil, dan meja-meja dihiasi dengan karang dan kulit siput, menambah dimensi sentuhan kepada pengalaman yang surreal tetapi menenangkan. Ia adalah tempat di mana anda benar-benar boleh “mul-meong” — termenung sambil melihat pergerakan seperti air, tanpa perlu meninggalkan kota.
Water Kingdom Habio: Tempat Nyaman Terbaik di Ruang Dalaman
Saya tidak boleh menamatkan penulisan ini tanpa menyebut pengalaman Korea kegemaran saya sepanjang masa: jjimjilbang. Bagi kebanyakan rakyat Korea, jjimjilbang bukan sekadar sauna — ia adalah satu institusi budaya. Ia merupakan tempat untuk berehat, memulihkan tenaga, dan menyambung semula hubungan dengan diri sendiri atau orang lain. Dan antara kenangan paling manis ketika membesar di Seoul ialah menghabiskan seharian di sauna bersama sepupu dan saudara-mara, membaca komik sambil menikmati telur rebus berasap dan teh ais.

Para pelancong sering mencari jjimjilbang sebagai pengalaman kesihatan unik Korea, manakala penduduk tempatan menganggapnya sebagai ritual wajib untuk melepaskan tekanan. Di Water Kingdom Habio, tradisi ini dibawa ke tahap yang lebih tinggi. Selain berpeluh di jjimjilbang tradisional, pengunjung juga boleh menikmati taman air dalam bangunan yang mesra keluarga — pilihan ideal untuk percutian singkat di dalam kota. Taman air ini menampilkan pelbagai tarikan, daripada zon percikan air hinggalah ke zon gelongsor berkelajuan tinggi.

Bahagian sauna di tempat ini agak standard. Ia merangkumi bilik ais, iaitu ruang sejuk di mana anda boleh berbaring di bangku batu sambil menurunkan suhu badan, sauna kiln tradisional yang diperbuat daripada tanah hwangto, zon tidur, kaunter snek, mesin layan diri yang menjual ramyun, zon permainan arked, dan juga kerusi urut. Dengan ruang yang luas untuk berehat, tidur sekejap, atau sekadar bersantai sambil melayari telefon (atau tidak), anda dengan mudah boleh menghabiskan sepanjang hari di sini tanpa langsung memikirkan cuaca di luar.
Ini hanyalah sebahagian contoh bagaimana warga Seoul seperti saya sedang mengubah cara kita bercuti, dan saya sangat mengesyorkan anda untuk mencubanya musim panas ini. Percutian musim ini mungkin mencerminkan peralihan budaya yang lebih besar — satu perubahan yang lebih menghargai memperlahankan rentak, keselesaan, dan kemewahan tenang yang dekat dengan rumah. Rehat bukanlah satu bentuk melarikan diri daripada kehidupan — tetapi cara untuk kembali kepadanya.