Musim Bingsu(ais kepal versi Korea) telah kembali dan bakal membuat anda lupakan kepanasan cuaca yang panas dengan rasanya yang manis dan menyegarkan. Pada musim panas, hotel-hotel mewah di Seoul menawarkan bingsu yang sangat eksotik yang bakal menarik perhatian dan menggiurkan mulut pengunjung terutamanya bagi orang yang kurang gemar dengan cuaca panas. Khas terumanya pada tahun ini, hotel-hotel telah menawarkan perkhidmatan yang mengambil kira kesihatan dan keselamatan pelanggan dengan menyediakan khidmat istimewa seperti melancarkan bingsu porsi seorang, menyediakan piring kecil tambahan dan khidmat bungkus untuk dibawa pulang. Jadi ayuh nikmati hidangan istimewa musim panas di Korea dengan penuh yakin!
JW Marriott Cawangan Dongdaemun Square, Seoul
JW Marriott Cawangan Dongdaemun Square Seoul baru-baru ini melancarkan “Patbingsu Bijan Hitam” dengan menggunakan bahan-bahan makanan tradisional Korea seperti bijan hitam dan kacang merah. Apa yang istimewanya mengenai bingsu ini adalah ia mempunyai dekorasi coklat berbentuk gerbang Heunginjimun yang berada di hadapan hotel ini, dan memberikan rupa visual yang cukup unik berbanding bingsu-bingsu di tempat lain. Selain itu, terdapat juga bingsu istimewa yang diberi nama “Bingsu Galaksi,” yang menjadi isu hangat dan viral di sosial media sejak tahun 2019. Bingsu ini telah menjadi kegemaran ramai kerana rupanya yang penuh misteri yang menyerupai gambaran alam semesta. Bingsu ini juga mempunyai daya tarikan menarik dengan tambahan coklat berbentuk kubah yang menutupi bahagian atas bingsu tersebut dan dicurahkan dengan glis bersinar yang menyerlahkan rupa alam semestanya.
Informasi
-
Harga: Patbingsu Bijan Hitam KRW 54,000 / Bingsu Galaksi KRW 50,000
-
Alamat: 279, Cheonggyecheon-ro, Jongno-gu, Seoul
-
Waktu Operasi: Setiap Hari 10:00 ~ 20:00
-
Telefon: +82-2-2276-3000
Grand Intercontinental Seoul Parnas
Grand Intercontinental Seoul Parnas telah mempersembahkan bingsu yang tersendiri bagi penggemar bingsu yang bernama “Retro Mugwort Bingsu,” dimana ia diperbuat daripada kombinasi daun baru cina yang harum bersama kacang merah manis, serta Bingsu Vegan Manis yang menggunakan ais susu kacang almond. Bingsu yang terdapat di Grand Intercontinental Seoul Parnas datang dalam berbagai jenis sebagai contoh bingsu porsi seorang, bingsu premium untuk porsi dua hingga tiga orang, dan perkhidmatan bungkus untuk dibawa pulang yang dipanggil “Bingsu To-go”.
Informasi
-
Harga: Retro Mugwort Bingsu KRW 27,000 (porsi seorang) KRW 45,000 (porsi 2 orang) / Bingsu Vegan Manis KRW 27,000 (porsi seorang) KRW 45,000 (porsi 2 orang)
-
Alamat: 521, Teheran-ro, Gangnam-gu, Seoul
-
Waktu Operasi: Setiap Hari 12:00 ~ 20:30
-
Telefon: +82-2-555-5656
The Westin Chosun Seoul
Di The Westin Chosun Seoul, anda boleh menikmati bingsu yang menjadi bualan ramai iaitu Bingsu Tembikai dan Bingsu Mangga Epal. Bingsu Tembikai disini diperbuat daripada jus buah asli tembikai dan dihidang dalam porsi yang banyak. Bingsu Mangga Apel pula disajikan dengan visual warna warni yang mempunyai rasa yang masam dan manis dalam pada masa yang sama. Di sini, anda boleh merasakan buah-buahan bermusim yang manis dan menyegarkan dimana buah-buahan ini dipilih daripada buah terbaik di Korea dan mempunyai kandungan gula yang tinggi serta amat segar.
Informasi
-
Harga: Bingsu Tembikai KRW 38,000 / Bingsu Mangga Epal KRW 48,000
-
Alamat: 106, Sogong-ro, Jung-gu, Seoul
-
Waktu Operasi: Isnin - Sabtu 09:00 ~ 22:00, Ahad 10:00 ~ 22:00
-
Telefon: +82-2-771-0500
The Shilla Seoul
The Shilla Seoul amat tersohor dengan “Bingsu Mangga Apel” yang telah pun menjadi kegemaran ramai semenjak ia dilancarkan pada tahun 2011. Bingsu Mangga Apel di The Shilla Seoul ini telah memaparkan visual yang cukup menggiurkan serta diperbuat daripada Mangga Apel yang diperoleh daripada Pulau Jeju dimana buah ini mempunyai kandungan gula fruktosa yang tinggi serta isi yang lunak. Bingsu Mangga Apel ini dihidangkan dengan cara sajiannya yang penuh sofistikated dan dihidang atas mangkuk dan talam yang diperbuat daripada perak.
Informasi
-
Harga: Bingsu Mangga Apel KRW 64,00
-
Alamat: 249, Dongho-ro, Jung-gu, Seoul
-
Waktu Operasi: Setiap Hari 10:00 ~ 21:00
-
Telefon: +82-2-2233-3131
Josun Palace Cawangan Gangnam, Seoul
Di 1914 Lounge & Bar di Josun Palace Cawangan Gangnam, Seoul, anda boleh menikmati keindahan lanskap urban dari tingkat aras tinggi sambil menjamu Bingsu Shine Muscat yang menyegarkan. Bingsu ini disediakan menggunakan Shine Muscat yang merupakan variasi buah anggur yang terbaik dan mewah, untuk memastikan hidangan mempunyai ciri-ciri tekstur yang rangup dan isi yang manis. Bingsu Shine Muscat amat terhad dimana hanya 20 hidangan sahaja yang akan dijual setiap hari.
Informasi
-
Harga: Bingsu Shine Muscat KRW 98,000
-
Alamat: 231, Teheran-ro, Gangnam-gu, Seoul
-
Waktu Operasi: Setiap Hari 11:00 ~ 22:00
-
Telefon: +82-2-727-7200
Signiel Seoul
Di The Lounge di Signiel Seoul yang bertempat di tingkat 79 Lotte World Tower yang tersohor dengan pemandangan aras tinggi yang mempersonakan, anda boleh merasai kenikmatan rasa Bingsu Kelapa Mangga yang disajikan oleh Chef Yannick Alleno yang telah menerima pengiktirafan 3 bintang Michelin. Bingsu ini disediakan dengan susu kelapa beku yang dikisar halus serta isi buah mangga, jus limau dan juga daun pudina yang akan menaikkan lagi aura cuaca musim panas di Korea.
Informasi
-
Harga: Bingsu Kelapa Mangga KRW 62,000
-
Alamat: Tingkat 76~101, Lotte Seoul Tower, 300, Olympic-ro, Songpa-gu, Seoul
-
Waktu Operasi: Setiap Hari 11:00 ~ 22:00
-
Telefon: +82-2-3213-1000
※ Masa dan maklumat operasi boleh berubah mengikut panduan penjarakkan sosial yang ditetapkan oleh Kerajaan Korea. Anda dinasihati untuk menyemak semula sebelum berkunjung ke tempat-tempat ini.